KUNJUNGAN RASMI DELEGASI MAJLIS AGAMA ISLAM NEGERI SEMBILAN (MAINS) & YAYASAN SOFA KE RUMAH NEGERI SEMBILAN KAHERAH (RNSK)

LAPORAN KUNJUNGAN RASMI
DELEGASI MAJLIS AGAMA ISLAM NEGERI SEMBILAN (MAINS) & YAYASAN SOFA KE
RUMAH NEGERI SEMBILAN KAHERAH (RNSK)

08 Februari 2015, Ahad – Rumah Negeri Sembilan Kaherah (RNSK) telah menerima kunjungan rasmi delegasi Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) dan Yayasan Sofa selama 3 hari 2 malam. Pihak delegasi tersebut diwakili oleh Ustaz Omar Mukhtar bin Yunus, Setiausaha Jabatan Aqidah dan Dakwah MAINS, Ustaz Solahuddin bin Azraie, Pengarah Akademik Kolej Islam As-Sofa, dan Ustaz Sufi bin Ibrahim, Ketua Eksekutif Kolej Islam As-Sofa. Kunjungan rasmi ini adalah rentetan daripada lawatan kerja mereka di Maghribi bagi penghantaran pelajar tajaan MAINS dan pertemuan rasmi bersama Kementerian Pengajian Tinggi di Maghribi.

Lawatan kerja ini bertujuan untuk mengadakan pertemuan ramah mesra di antara pihak delegasi bersama anak-anak Negeri Sembilan di Mesir. Justeru, Majlis Tertinggi Pengurusan Anak-Anak Negeri Sembilan (MTPANSM) telah bersetuju untuk menerima kedatangan mereka dan menyokong aktiviti yang telah disusun atur oleh pihak delegasi di RNSK.

Pada 08 Februari, program diskusi kitab Fitnah al-Wahhabiyyah dan kitab al-Taqsim al-Tsulatsi li al-Tauhid telah menjadi acara sulung mereka yang berjaya dilaksanakan pada jam 7.30 malam. Diskusi tersebut telah disampaikan oleh Pengarah Akademik Kolej Islam As-Sofa, Ustaz Solahuddin bin Azraie demi berkongsi ilmu tentang isu seputar fahaman Wahhabiy yang agak membimbangkan di Malaysia. Pembentangan kedua-dua kitab tersebut penting dan wajar agar anak-anak Negeri Sembilan tidak ketinggalan dalam isu aqidah lantaran kini pembiakan lambakan isu-isu semasa di tanah air semakin berkembang. Beliau juga memberi nasihat agar anak-anak negeri mempersiapkan diri dengan serata ilmu untuk dikongsi kepada masyarakat kelak.






Pada keesokan harinya bersamaan dengan tarikh 09 Februari, wakil MAINS merangkap tenaga kerja Sekretariat Mahasiswa/wi Timur Tengah (SMATT), Ustaz Omar Mukhtar bin Yunus telah mengadakan pertemuan rasmi bersama Pegawai Khas Kebajikan Anak-Anak Negeri Sembilan Timur Tengah, Tuan Abdul Hamid bin Jaman bagi membincangkan perkara-perkara khas berkaitan kebajikan anak-anak Negeri Sembilan. Pertemuan selama 2 jam itu kemudiannya disusuli dengan pertemuan seterusnya bersama seluruh barisan MTPANSM. Pertemuan tersebut lebih terarah kepada lontaran cadangan, kritikan dan usaha tambah baik di antara kedua-dua pihak pengurusan. Antara perkara yang sempat dirumuskan adalah:

1.       Memohon kerjasama MTPANSM agar sentiasa memberi komitmen bagi menjayakan kelangsungan akademik dan sahsiah anak-anak Negeri Sembilan
2.       Memohon MTPANSM sentiasa memastikan potensi dan kegiatan akademik semasa anak-anak Negeri Sembilan diatur dengan baik dan dinilai dari semasa ke semasa
3.       Menekankan perihal nilai disiplin dalam kalangan anak-anak Negeri Sembilan semasa tempoh pengajian di Mesir
4.       Meminta program-program ilmiah dah diskusi kitab diperbanyakkan di RNSK bagi mendepani masyarakat pada masa akan datang



Seterusnya, Ustaz Omar Mukhtar dan Tuan Haji Abdul Hamid juga berjaya mengadakan pertemuan rasmi bersama kakitangan Kedutaan Besar Malaysia Kaherah (KBMK) di Mohandiseen untuk menyelesaikan permasalahan isu pembaharuan lesen kenderaan rasmi RNSK dan beberapa perkara yang berkaitan dengan hal ehwal kebajikan anak-anak Negeri Sembilan.


Pada sebelah malamnya, satu pembentangan ‘Talk Show Kerjaya Islam’ telah berjaya disampaikan oleh Ketua Eksekutif Kolej Islam As-Sofa, Ustaz Sufi bin Ibrahim. Kertas kerja bagi pembentangan tersebut turut disediakan yang memuatkan panduan dan prosedur ringkas bagi manfaat anak-anak Negeri Sembilan dan memudahkan mereka membuat keputusan yang sesuai setelah selesai menghabiskan sesi pengajian peringkat Sarjana Muda di Mesir.




Pada jam 9.00 malam, program dilanjutkan dengan majlis ramah mesra di antara Ustaz Omar Mukhtar bersama anak-anak negeri bagi menyampaikan amanat khas dari Setiausaha Mains, Tuan Kamal Amran bin Kamarudin. Antaranya:

1.       Pihak MAINS dan Yayasan Sofa telah berjaya mendapat kesepakatan hasil rundingan bersama Kementerian Pengajian Tinggi Maghribi untuk tawaran kuota sebanyak 20 kerusi bagi pelajar Malaysia yang ingin menyambung pengajian di Maghribi.
2.       MAINS bersetuju untuk menawarkan tajaan dan penghantaran pelajar ke Maghribi.
3.       MAINS sentiasa menyokong dan menggalakkan usaha anak-anak Negeri Sembilan yang ingin menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi.
4.       Sekiranya berkesempatan, Menteri Besar Negeri Sembilan akan mengadakan lawatan kerja ke Mesir, Jordan dan Maghribi sekitar awal April 2015.
5.       Mana-mana lepasan Timur Tengah yang ingin dilantik sebagai penceramah atau tenaga pengajar di Negeri Sembilan perlu melepasi prosuder tauliah seperti yang ditetapkan Jabatan Mufti Negeri Sembilan.



Pada 10 Februari, pihak delegasi selamat pulang ke tanah air pada jam 3.00 petang. Pihak MTPANSM berbesar hati kerana berjaya mengendalikan program tersebut dengan sebaiknya. Adalah diharapkan agar segala nasihat dan panduan yang telah diberikan oleh pihak delegasi dimanfaatkan sebaiknya oleh anak-anak Negeri Sembilan.


Disediakan oleh,



MUHAMMAD AL-GHAZALLI BIN ABDOL MALEK
Setiausaha Agung,
Majlis Tertinggi Pengurusan Anak-Anak Negeri Sembilan Mesir,
Sesi 2014/2015.




    

Comments

  1. Assalamualaikum wbt. Seorang lelaki asnaf fakir miskin berasal dari Melaka berumur 44 tahun sentiasa berada dalam keadaan daif dan hidup dalam serba kekurangan. Sesiapa yang ingin menghulurkan sumbangan wang secara ikhlas, boleh derma ke akaun maybank 151089317354 Adila Bin Suboh. Terima kasih.

    ReplyDelete

Post a Comment

Popular posts from this blog

KUNJUNGAN RASMI DELEGASI JABATAN MUFTI NEGERI SEMBILAN KE RUMAH NEGERI SEMBILAN KAHERAH (RNSK)

*[MAKLUMAN PENANGGUHAN KELAS TAFAQQUH FIDDIN]*

[ZIARAH MAHABBAH ]