KUNJUNGAN RASMI DELEGASI JABATAN MUFTI NEGERI SEMBILAN KE RUMAH NEGERI SEMBILAN KAHERAH (RNSK)

LAPORAN KUNJUNGAN RASMI DELEGASI JABATAN MUFTI NEGERI SEMBILAN KE
RUMAH NEGERI SEMBILAN KAHERAH (RNSK)

16 Februari 2015, Isnin – Jabatan Mufti Negeri Sembilan telah menghantar satu rombongan delegasi mereka bagi mengadakan pertemuan bersama anak-anak Negeri Sembilan di Rumah Negeri Sembilan Kaherah (RNSK). Rombongan delegasi yang  diwakili oleh 3 orang jawatan kuasa iaitu Ustaz Muhammad Yusri bin Mazlan, Penolong Mufti Bahagian Aqidah, Ustaz Shuhadak bin Mahmud, Pengerusi Lembaga Masjid Negeri Sembilan dan turut serta, Ustaz Khairul Amal bin Zulkifli, Imam Masjid Hussein, Seremban 2 yang diberi amanah sebagai pegawai pengiring. Sebelum itu, mereka telah pun mengadakan pertemuan bersama anak-anak Negeri Sembilan di Maghribi.

Objektif kunjungan rasmi ini adalah tidak lain hanyalah bertujuan untuk mengadakan pertemuan ramah mesra dan perkongsian pengalaman dan ilmu bersama anak-anak Negeri Sembilan di Mesir memandangkan mereka sendiri adalah bekas penuntut di Mesir suatu ketika dahulu. Maka, Majlis Tertinggi Pengurusan Anak-Anak Negeri Sembilan (MTPANSM) berbesar hati untuk menerima kehadiran mereka selaras dengan misi bagi menghidupkan biah solehah di RNSK.

Pada 16 Februari, Ustaz Shuhadak Mahmud yang merupakan lulusan Sarjana Muda Fakulti Syariah Islamiyyah, Universiti Al-Azhar, Kaherah dan Sarjana di American Open University telah menyampaikan satu slot pembentangan kertas kerja beliau di bawah tajuk, ‘Kewajipan Bermazhab Fiqh Menurut Manhaj Ahli Sunnah wa al-Jamaah’. Perkongsian tersebut lebih menjurus kepada maslahah semasa kepada polemik syariat dalam kalangan masyarakat hari ini. Antara topik utama kertas kerja tersebut adalah pengenalan ringkas tentang Imam Syafie, perkembangan mazhab, isu mujtahid dan muqallid, mengapa mazhab diwajibkan dan impak ketidakseragaman yang berlaku seandainya tidak bermazhab dan perkara-perkara yang bersangkut-paut dengan perihal syariat semasa. Isu-isu tersebut bukan sahaja perlu diperjelaskan kepada masyarakat, bahkan tidak terkecuali kepada penuntut-penuntut ilmu pada hari ini kerana merekalah yang bakal pulang untuk memberi khidmat dan perkongsian ilmu tersebut di tanah air kelak.






Dalam masa yang sama, beliau juga sempat berkongsi ilmu tentang nilai masa di bawah tajuk, ‘Kepentingan Masa dari Perspektif Ulamak’. Melalui slot ini, pendiskusi membawakan contoh tokoh ulamak terkemuka yang sangat mementingkan perihal pengurusan masa dalam kehidupan seharian iaitu Syeikh Abdul Fattah al-Ghuddah. Menariknya, pendiskusi telah menterjemahkan hasil karya ulamak Syria tersebut ke dalam Bahasa Melayu dan mengenengahkan beberapa maklumat terjemahan  kitab tersebut termasuklah ambilan hadith dan sedikit rumusan yang boleh diambil manfaat audien. 

Pada keesokan malamnya bersamaan tarikh 17 Februari, diskusi ilmiah berkenaan kitab  ‘Hasyiah al-Baijuriy ‘ala Jauharah al-Tauhid’ telah berjaya disampaikan oleh Ustaz Muhammad Yusri bin Mazlan. Perkongsian tersebut bertujuan untuk mendedahkan kepada anak-anak Negeri Sembilan tentang pemahaman aqidah yang sebenar bertepatan dengan manhaj Ahli Sunnah wa al-Jamaah. Sesi pembacaan dan penerangan lengkap tentang ‘Pengenalan Tauhid/Sifat 20’ telah menjadi pilihan pendiskusi untuk dibawakan dalam slot ini. Namun, pendiskusi lebih memfokuskan perhatian audien  terhadap konsep Wujud bagi Allah dan beliau berjaya menerapkan pemahaman audien melalui pencerahan beliau yang sangat halus dan ilmiah. Benarlah, setiap kalam yang dikeluarkan oleh beliau menggambarkan betapa cermatnya beliau dalam usaha perolehan mencari ilmu memandangkan ilmu yang dikongsi adalah ilmu teras berkaitan disiplin ilmu aqidah dan tauhid.




Beliau juga sempat berkongsi pengalaman beliau dalam menuntut ilmu di Malaysia dan Mesir. Beliau merupakan lulusan daripada Fakulti Takhassus Qiraat, Universiti al-Azhar, Kaherah. Apa yang menariknya, beliau berjaya membuka dimensi baharu dengan mengambil keputusan untuk beralih tumpuan utama kepada bidang Aqidah dan Tauhid. Hal ini dijelaskan beliau bahawa seseorang itu tidaklah hanya fokus kepada bidang semasa yang diambilnya, namun ia tidak menafikan kepentingan untuk menggali ilmu dalam bidang agama yang lain seperti Syariah, Usuluddin dan Bahasa Arab. Konsep sedemikian perlu diambil berat setiap penuntut agar mereka sentiasa mengambil setiap peluang dan ruang yang ada untuk menimba ilmu dan pengalaman berbeza dari lapangan pengajian semasa mereka.

Pada jam 10.00 malam, Ustaz Shuhadak Mahmud juga turut menyampaikan pesanan khas dari Setiausaha Mains, Tuan Kamal Amran bin Kamarudin. Antaranya:

1.       Pihak MAINS berpesan agar anak-anak Negeri Sembilan sentiasa menunjukkan kesungguhan dan prestasi yang memberangsangkan dalam menuntut ilmu di Mesir.
2.       Pesanan agar sentiasa melengkapkan diri dengan ilmu dan memberikan pemahaman yang jelas berkenaan dengan manhaj Ahli Sunnah wa al-Jamaah ketika pulang ke Malaysia.



Pada 19 Februari, rombongan delegasi pulang ke Malaysia pada jam 3.00 petang. Semoga segala perkongsian nasihat, ilmu dan panduan oleh kedua-dua tokoh Negeri Sembilan tersebut berjaya memberi kesan dalam kalangan anak-anak Negeri Sembilan untuk lebih bersedia dengan segala macam ilmu bagi mendepani masyarakat pada masa akan datang.






Disediakan oleh,



MUHAMMAD AL-GHAZALLI BIN ABDOL MALEK
Setiausaha Agung,
Majlis Tertinggi Pengurusan Anak-Anak Negeri Sembilan Mesir,
Sesi 2014/2015.



    


Comments

Post a Comment

Popular posts from this blog

CARTA ORGANISASI MAJLIS TERTINGGI PENGURUSAN ANAK-ANAK NEGERI SEMBILAN MESIR (MTPANSM) SESI 2016/2017

Forum Perdana.