28 Apr 2014

KALAM TAUJIHAT SEMPENA IMTIHAN BERSAMA SYEIKH MUHAMMAD ABDUN NABIY

AHAD, 27 APRIL 2014- Bahang imtihan semakin terasa. Semua mahasiswa/wi Al-Azhar Mesir khususnya anak-anak Negeri Sembilan bertungkus-lumus mengulangkaji pelajaran. Rumah Negeri Sembilan Kaherah kini penuh dengan kelas tutorial untuk persediaan menghadapi imtihan. Sehubungan dengan itu, pihak Majlis Tertinggi Pengurusan Anak-Anak Negeri Sembilan menjalankan program “Kalam Taujihat Sempena Imtihan” yang disampaikan oleh pensyarah Maahad Qiraat Al-Azhar Shoubra, al-Fadhil al-Syeikh Muhammad Abdun Nabiy.


                 Program dimulakan dengan bacaan surah Yasiin dan Tahlil serta Doa yang dipimpin oleh al-Fadhil al-Syeikh selepas solat Maghrib berjemaah. Selesai bacaan Yasiin dan Tahlil tersebut, bermula Kalam Taujihat daripada beliau.


                Antara nasihat yang disampaikan oleh beliau ialah mengingatkan kepada seluruh mahasiswa/wi yang hadir pada ketika itu bahawa kita diciptakan adalah untuk beribadah kepada Allah s.w.t. Selain daripada itu, beliau berpesan supaya semua mahasiswa/wi sentiasa berpegang kepada tujuan utama datang ke Mesir iaitu belajar dan mencari ilmu.

                Di samping itu, beliau juga mengatakan sesungguhnya untuk lulus dalam peperiksaan amat mudah dan senang tetapi mahasiswa/wi perlu berusaha bersungguh-sungguh untuk menguasai bidang masing-masing supaya boleh memberi manfaat kepada masyarakat di Malaysia khususnya Negeri Sembilan. Beliau mendoakan semua anak-anak negeri Sembilan berjaya pada imtihan yang akan menjelang tidak lama lagi.



                Program berakhir dengan solat Isyak secara berjemaah dan jamuan yang disediakan oleh anak-anak negeri sembilan sendiri. Dua ekor kambing telah disediakan dan salah satu daripadanya aqiqah atas kelahiran cucu Pegawai Atase Pendidikan Negeri Sembilan, Abdul Hamid bin Jaman.

                Semoga dengan program yang dijalankan ini dapat meningkatkan motivasi serta prestasi akademik anak-anak Negeri Sembilan seterusnya dapat melahirkan insan yang cemerlang dan bermanfaat kepada orang lain.




19 Apr 2014

JEJAK AULIA' DI BAHNASA 2014

Pada 6 April 2014 yang lepas, Exco Kebudayaan,Kesenian dan Sukan di bawah Majlis Tertinggi Pengurusan Anak-Anak Negeri Sembilan Mesir telah menganjurkan satu jaulah menziarahi maqam para sahabat dan auliya’ di Bahnasa. Peserta yang menyertai jaulah ke Bahnasa ini seramai 81 orang dengan menaiki dua bas. Perjalanan menuju ke Bahnasa bermula seawal jam satu pagi. Perjalanan mengambil masa selama lebih kurang 4 jam untuk sampai ke destinasi. Setibanya di sana, para peserta dengan diiringi guide tour menunaikan solat subuh secara  berjemaah.

Seusai solat subuh secara berjemaah, para peserta telah melaksanakan majlis tahlil secara ringkas serta malantunkan qasidah iaitu puji-pujian kepada Rasullullah s.a.w  sehingga masuknya waktu dhuha. Setelah itu para peserta menunaikan solat sunat dhuha secara berjemaah. Ziarah maqam bermula sekitar jam 7 pagi sehingga jam 11 pagi.


Ketua rombongan menerangkan serba sedikit tentang kawasan yang bernama Bahnasa ini di mana kawasan ini tercetusnya peperangan antara tentera Islam dengan tentera Rumawi yang dikenali Fathul Bahnasa pada kurun 19 hijrah di bawah pimpinan sahabat Rasullullah s.a.w iaitu Saidina Khalid bin Abdul Walid. Di antara maqam-maqam yang terdapat di sekitar kawasan Bahnasa ini adalah maqam Ahli Badar iaitu sahabat Rasullullah s.a.w yang menyertai peperangan pertama dalam sejarah Islam.


Selain itu, terdapat juga maqam para sahabat dan para auliya yang lain antaranya Sidi Ziyad bin Abi Sufyan, Sidi Hasanbin Soleh bin Zainal Abidin, Saidah Ruqayah,,Sidi Sawadah Al Kanadi Al Bughdadi,,Sidi Abban bin Uthman,,Sidi Abi Samrah bin Ali Zainal Abidin serta ramai lagi. Dikhabarkan terdapat lebih daripada lima ribu para syuhada di kalangan para sahabat dan auliya telah di maqamkan di perkuburan Bahnasa.


Kawasan Bahnasa ini juga di kenali sebagai Baqi Mesir. Setelah itu, ketua rombongan membawa kami menziarahi tempat di mana dikhabarkan berlakunya peperangan antara tentera Islam dengan tentera Rumawi juga dikenali sebagai “tanah ajaib”. Setelah selesai menziarahi maqam, kami bersiap untuk berangkat pulang daripada Bahnasa lebih kurang jam dua petang dan sampai di kaherah dalam jam 6 petang.






MAJLIS SELAWAT BERSAMA SYEIKH MAHMUD SAID MAMDUH

Pada 4 April bersamaan 4 Jamadil Akhir Exco Dakwah dan Tarbiyyah telah mengadakan Majlis Sambutan Maulid Nabi, Tausiah dan Riwayat Hadis Musalsal bersama dengan jemputan khas Fadhilatu  Asyyeikh Al Alamah Al Muhaddith Mahmud Sai’d Mamduh.



Majlis telah diadakan di Dewan Syeikh Abdul Qadir Al Jailani bermula dari jam 8 malam dan berakhir pada 9.30 malam.Selain itu, majlis juga turut dimeriahkan lagi dengan dendangan selawat dan puji-pujian ke atas junjungan Nabi Muhammad Sallahu Alaihi Wasallam yang dipersembahkan oleh Kumpulan Zawiyyah.Akhir sekali, majlis berakhir dengan jamuan bubur lambuk untuk para tetamu yang hadir.Semoga program ini dapat diteruskan lagi dengan menjemput para alim ulama untuk para mahasiswa dan mahasisiwi untuk mengambil ibrah dan barakah.Firman Allah Taala di dalam Surah Al Faathir ayat 28 yang bermaksud “ Sesungguhnya yang takut kepada Allah di antara hamba-hambanya , hanyalah Ulama."