RISALAH AT-TAQWA 11 DISEMBER
Menghormati tetamu termasuk tuntutan iman
Dalam kemeriahan dan keghairahan memenuhi undangan menghadiri jamuan dan rumah terbuka, pasti ada adab-adabnya yang tidak wajar diabaikan. Adab meraikan tetamu dan memenuhi undangan dijelaskan terperinci dalam kitab Ihya' `Ulumuddin, karangan Imam Muhammad al-Ghazali Jilid 2 dari muka surat 10 hingga muka surat 13. Adab ini yang dapat memastikan bahawa setiap tingkah laku dan tindakan tuan rumah yang mengadakan 'open house' serta tetamu yang memenuhi undangan kekal terpelihara dan tidak melanggar batas sempadan.
Bagi tuan rumah yang mengadakan jamuan, ia sebenarnya memenuhi tuntutan agama agar sentiasa mengalu-alukan kehadiran tetamu.Ini seperti ditegaskan Rasulullah sallallahu alaihi wasalam yang bermaksud: -"Tiada kebaikan bagi sesiapa yang tidak menerima tetamu"-.
Amalan mengundang tetamu dan menikmati hidangan bersama-sama ini juga adalah amalan para anbia'. Misalnya, diriwayatkan Nabi Ibrahim akan berjalan sejauh sebatu atau dua batu untuk mencari orang yang akan bersama-sama dengannya.Sikap yang ditunjukkan olehnya ini, menunjukkan betapa pentingnya kita menjemput orang lain menjadi tetamu dan menikmati hidangan bersama-sama.
Di sini juga letaknya keutamaan atau kepentingan memberi makan khususnya kepada golongan fakir dan miskin. Dalam perkara ini, Rasulullah sallallahu alaihi wasalam pernah ditanya,yang bermaksud: -Apakah iman itu? Jawab Baginda: `Menghidangkan makanan dan mengucapkan salam.-
Dalam menjemput atau mengundang orang lain sebagai tetamu, kita diingatkan supaya tidak membebankan tetamu dengan sesuatu perkara hingga menyusahkannya.Umpamanya, menetapkan sesuatu peraturan ketika berada di rumah kita hingga membuatkan tetamu berasa tidak selesa. Ataupun, kita memintanya membawa hadiah atau melakukan sesuatu yang jika tidak dilakukan akan menyebabkan marah. Rasulullah sallallahu alaihi wasalam bersabda yang bermaksud: "Janganlah kamu membebankan tetamu atau kamu memarahinya dan sesungguhnya orang yang memarahi tetamu, dia memarahi Allah dan sesiapa yang memarahi Allah, maka Allah murkainya."
Ia bukan saja bertentangan dengan tata cara yang ditetapkan oleh Islam, malah menunjukkan yang kita tidak mengetahui untuk menghormati tetamu. Sedangkan, menghormati tetamu amat dituntut oleh Islam. Rasulullah sallallahu alaihi wasalam bersabda yang bermaksud: -Sesiapa yang menghormati tetamu, maka ia menghormatiku dan sesiapa menghormatiku, maka dia memuliakan Allah dan sesiapa memarahi tetamu, maka dia marah kepadaku dan sesiapa yang marah kepadaku, maka dia memarahi Allah-.
Seterusnya, dalam mengundang tetamu juga, kita hendaklah mengutamakan golongan yang bertakwa atau lebih tepat lagi, orang yang berakhlak mulia, di samping golongan fakir dan miskin. Rasulullah sallallahu alaihi wasalam bersabda yang bermaksud: -Pastikan bahawa makanan kamu dimakan orang yang baik-baik-.Dalam hadis lain pula, Rasulullah sallallahu alaihi wasalam bersabda yang bermaksud : -Seburuk- buruk makanan adalah makanan (di majlis) kenduri yang hanya dijemput golongan kaya dan mengetepikan golongan fakir-. Begitu juga dengan usaha mengundang dan menghidang makanan untuk golongan fakir dan miskin.
Di samping itu, kita diingatkan supaya tidak mengadakan majlis atau menjemput tetamu ke rumah semata-mata untuk bermegah atau menunjuk-nunjuk. Sifat yang buruk ini hanya mendatangkan kerugian kerana Allah tidak menerima perbuatan mengundang tetamu itu sebagai ibadat dan tidak akan memperoleh keberkatan. Sebaliknya, kita hendaklah membahagiakan dan menggembirakan hati saudara seIslam serta menurut sunnah Rasulullah sallallahu alaihi wasalam.
Dalam kitab Taurat atau sesetengah kitab lain menyebut: "Berjalanlah kamu sebatu untuk menziarahi pesakit, berjalanlah kamu dua batu untuk mengiringi jenazah, berjalanlah kamu tiga batu untuk memenuhi undangan dan berjalanlah empat batu untuk menziarahi saudara di sisi Allah". Perkara ini menunjukkan kita digalakkan memenuhi undangan dan menziarahi saudara walaupun jaraknya jauh.
Adab terakhir adalah menghadiri sesuatu majlis bukan dengan niat memuaskan nafsu makan semata-mata kerana ia akan mendorong kita cenderung kepada hal-hal keduniaan. Sebaliknya, kehadiran kita biarlah dengan niat yang baik.
Mudah-mudahan kita mendapat kebaikan dunia akhirat.
Seseorang telah datang menemui Rasulullah sallallahu alaihi wasalam dan telah menceritakan kepada baginda tentang kelaparan yang dialami olehnya. Kebetulan pada ketika itu baginda tidak mempunyai suatu apa makanan pun pada diri baginda mahupun di rumahnya sendiri untuk diberikan kepada orang itu. Baginda kemudian bertanya kepada para sahabat: "Adakah sesiapa di antara kamu yang sanggup melayani orang ini sebagai tetamunya pada malam ini bagi pihak aku?"Seorang dari kaum Ansar telah menyahut: "Wahai Rasulullah sallallahu alaihi wasalam, saya sanggup melakukan seperti kehendak tuan itu."
Orang Ansar itu pun telah membawa orang tadi ke rumahnya dan menerangkan pula kepada isterinya seraya berkata: "Lihatlah bahawa orang ini ialah tetamu Rasulullah sallallahu alaihi wasalam kita mesti melayaninya dengan sebaik-baik layanan mengikut segala kesanggupan yang ada pada diri kita dan semasa melakukan demikian janganlah kita tinggalkan sesuatu makanan pun yang ada di rumah kita."
Lalu isterinya menjawab: "Demi Allah! Sebenarnya daku tidak ada menyimpan sebarang makanan pun, yang ada cuma sedikit, itu hanya mencukupi untuk makanan anak-anak kita di rumah ini ?"
Orang Ansar itu pun berkata: "Kalau begitu engkau tidurkanlah mereka dahulu (anak-anaknya) tanpa memberi makanan kepada mereka. Apabila saya duduk berbual-bual dengan tetamu ini di samping jamuan makan yang sedikit ini, dan apabila kami hendak makan, engkau padamlah lampu itu, sambil berpura-pura hendak membetulkannya kembali supaya tetamu itu tidak akan ketahui bahawa saya tidak makan bersama-samanya."
Rancangan itu telah berjalan dengan lancarnya dan seluruh keluarga tersebut termasuk kanak-kanak itu sendiri terpaksa menahan lapar semata-mata untuk membolehkan tetamu itu makan sehingga berasa kenyang.
Berikutan dengan peristiwa itu, Allah subhanahu wataala telah berfirman yang bermaksud: "Dan mereka mengutamakan (orang-orang Muhajirin) atas diri mereka sendiri, sekalipun mereka berada dalam kesusahan." (Al-Hasry : 9)
Comments
Post a Comment