Apa Yang Terkorban??

Amalan dan ibadah semuanya menjurus kepada pengabdian kepada Allah SWT, mengEsa dan mengAgungkanNya. Selain dari itu ibadah juga mempunyai pengertian dan tuntutan yang boleh memberi manfaat untuk kehidupan manusia. Sembahyang umpamanya mengajar umat mengenai tatacara hidup bermasyarakat. Hidup saling bahu membahu dalam segala urusan. Hidup bermasyarakat itu pula dimonitor oleh seorang pemimpin. Rakyat wajib mematuhinya selagi mana tidak melanggar atau terseleweng dari syariat. Kesempurnaan bermasyarakat itu terbina melalui adanya hubungan antara rakyat dengan pemimpin serta jalinan antara rakyat sesama rakyat. Ibadah puasa mendidik umat agar mengutamakan penentangan terhadap kerakusan nafsu, menguatkan dan menyuburkan jiwa serta menghaluskan jiwa dan perasaan. Kehalusan perasaan prihatin melahirkan manusia yang dapat dengan mudah mengesan penderitaan orang lain. Zakat melambangkan tanggungjawab sosial golongan berada kepada mereka yang dhaif. Turut menyedarkan manusia betapa hidup ini tidak dapat lari dari memerlukan orang lain, sandar menyandar, lengkap melengkapi sama ada secara langsung atau tidak. Sekiranya dikupas dan dianalisa secara terperinci di sebalik ibadah itu terdapat berbagai simbolik, pengajaran dan iktibar. Akan terserlah keindahan ajaran Islam yang merangkumi segala aspek kehidupan manusia. Di akhir kemuncak ibadah haji itu umat Islam seluruh dunia merayakannya dengan ibadah korban. Banyaklah darah unta, kibas, lembu, kerbau dan kambing tumpah ke bumi. Itu sebagai tanda pengorbanan umat Islam yang sudah pasti bertujuan untuk mencari keredhaan Allah SWT. Itu juga sebagai gambaran betapa perintah Allah SWT itu tidak diabaikan oleh penganutnya. Beratnya penanggungan jiwa Nabi Ibrahim a.s. dan Nabi Ismail a.s ketika diperintah melakukan penyembelihan. Tiada bandingan dengan pengorbanan penyembelihan haiwan ternakan. Malah habuan segera diberikan Allah SWT dengan memakan daging korban tersebut. Sedangkan Nabi Ibrahim bakal kehilangan anak tersayang. Tentu naluri kebapaan beliau tidak sanggup berpisah dengan anaknya. Namun rasa kehambaan penyerahan kepada Allah SWT mengatasi segala-galanya. Demikian pula dengan Nabi Ismail a.s yang bakal mengakhiri hidupnya di tangan bapanya sendiri. Namun kerelaan beliau itu lambang pengorbanan suci dari seorang hamba kepada Allah SWT. Nilai pengorbanan Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail terletak kepada berat dan besarnya derita yang ditanggung. Rasulullah SAW pernah bertanya kepada para sahabat: "Sukakah kamu memperolehi ganjaran 1000 dirham dari satu dirham? Sahabat bertanya: "Bagaimana wahai Rasulullah?" Jawab Rasulullah SAW: "Iaitu satu dirham yang kamu sangat perlu yang kamu infaqkan" (Riwayat An Nasai) Ertinya bukan kecil kuantiti sesuatu tetapi berat penanggungan dalam korban itu. RM1000.00 bagi seorang kaya raya tidak membebankan dirinya andainya dikorbankan RM1.00 berbanding orang yang memiliki hanya RM10.00 yang akan berbaki RM9.00 lagi. Pengorbanan merupakan syarat penting untuk kejayaan umat. Buktinya, keagungan Islam adalah buah dari pengorbanan Rasulullah SAW dan para sahabat. Dan kita warisi agama Islam hingga kini merupakan kesinambungan atau penerusan golongan yang merelakan diri mereka terkorban dalam memikul amanah Allah SWT. Seperti juga dengan lain-lain ibadah, ibadah korban juga mempunyai roh, falsafah dan iktibar tersendiri. Tidak cukup sekadar tumbangnya haiwan ternakan saban tahun. Umat Islam tidak akan ke mana selain mendapat pahala dari Allah SWT hasil penyembelihan haiwan korban tersebut. Lebih dari itu Islam perlu didaulatkan dan dimartabatkan keunggulannya di atas pengorbanan umat tanpa titik noktah kecuali ajal. Kesempurnaan pengorbanan terletak pada adanya sesuatu yang terkorban dari orang yang berkorban. Pertama: Pengorbanan harta benda Apabila harta benda dikorbankan, berlaku kekurangan harta benda dan wang ringgit miliknya. Hingga diri dan keluarganya hidup di tahap paling sederhana. Tidak boleh mendakwa dirinya pejuang yang banyak berkorban andainya hidup semakin mewah, semakin senang dan harta semakin bertimbun. Sayidina Abu Bakar As Siddiq .a pernah ditanya apabila beliau mengorbankan semua hartanya ke jalan Allah, apa lagi yang tinggal untuknya? Beliau menjawab: "Allah dan Rasul!" Kedua: Pengorbanan masa Untuk terbangunnya kejayaan umat, banyak masa perlu digunakan. Tidak boleh "part time" atau kalau ada masa baru hendak berjuang. Melainkan hilang segala masa relaks, masa santai dan privacy. Terlalu sempit ruang waktu untuk urusan peribadi dan keluarga. Sayidina Umar Ibnu Khattab pernah berkata: "Aku tidak dapat tidur di siang hari kerana bimbang urusan aku dengan rakyat tidak selesai, dan aku juga tidak dapat tidur di malam hari kerana bimbang kalau urusan aku dengan Tuhanku tidak selesai." Ketiga: Pengorbanan tenaga Diri sendiri itulah merupakan sumber tenaga untuk dikorbankan. Tenaga yang tercurah untuk perjuangan Islam itu tidak lagi dapat digunakan untuk menambah pendapatan atau mengumpul kekayaan. Keempat: Pengorbanan perasaan Kedapatan juga umat yang mahu berkorban membangunkan Islam tetapi memilih dalam bentuk yang seronok, pujian dan sanjungan. Atau bentuk-bentuk yang tidak sampai menanggung derita jiwa kerana menghadapi tentangan. Apa jua jenis risiko yang bakal dihadapi akan diusahakan menghindarinya. Sedangkan memang menjadi sunnatullah para pejuang terpaksa banyak menekan perasaan kerana risiko yang dihadapi. Kelima: Pengorbanan fikiran Sayidina Umar Ibnu Khattab sangat dukacita andainya umat ini terdiri dari orang yang lemah mentalitinya walaupun bertaqwa. Anehnya kepintaran dan ketinggian mental umat Islam lebih banyak digunakan untuk membangunkan material. Umat perlukan mastermind yang mampu merancang, buah fikiran yang bernas, minda yang bersih. Kepintaran diperlukan untuk mengupas isi Al Quran dan mencapai ilmu Islam yang lainnya. Individu muslim yang pintar perlu berkorban demi kedaulatan Islam. Keenam: Pengorbanan nyawa Ini yang dilakukan oleh para sahabat. Milik manusia yang paling disayangi ialah nyawa. Para sahabat menukar ganti nyawa mereka demi untuk kemuliaan Islam kerana Allah SWT. Kita tanyalah diri sendiri dan jawablah secara jujur. Adakah kita berkorban atau kitakah yang terkorban. Apa yang terkorban dalam hidup kita demi kepentingan Islam? Perlu lahir dari kalangan umat ini semangat pengorbanan yang dimiliki oleh Rasulullah dan para sahabat. Perlu ada di kalangan umat ini "figure" yang memiliki jiwa besar umpama Nabi Ibrahim a.s dan Nabi Ismail a.s. Perlu ada golongan yang keluar merentasi desa, menyeberangi lautan, mendaki bukit bukau, mengharungi onak dan duri, berkelana di rimba, terbang ke tujuh benua demi membuktikan kecintaannya kepada agama Allah SWT mengatasi kecintaan kepada yang lain.

Comments

Popular posts from this blog

Lisanul Haq

Majlis Bacaan Musalsal bersama Syeikh Muhammad Fuad b. Kamaludin al-Maliki

Perutusan Pengerusi MTP sempena Maal Hijrah 1431