Risalah At-Takwa 4 Disember 2009





SEGANLAH DENGAN DIRIMU, DAN MALULAH PADA ALLAH…!!!


Setiap kali hamba ini menghirup udara segar di muka bumi Allah, semakin bertambah umur semakin itu diri ini seakan tidak sedar sudah banyak perkara yang dilakukan adalah bersalahan dan tidak direstui agama. Mulut dan lisan petah mengungkap lafaz-lafaz tazkirah, peringatan dan muhasabah namun secara tidak sedar jika tidak didinding diri ini dengan hiasan taqwa yang hakiki, apa yang ditegur akan terpalit pada diri ini juga. Dikau meminta meminta agar ahli bilikmu agar bangun awal, tapi dirimu juga kekadang terlajak dari waktunya. Dikau membenci pergaulan bebas lelaki perempuan di Malaysia sana namun dirimu jua seronok menutur bicara manis bila ditelefon oleh manusia berlainan dari jantinamu walaupun masih belum ada ikatan yang sah. Dikau membenci dan mengatakan akhlak masyarakat yang sudah teruk di Malaysia sana tapi di sini dikau begitu seronok menonton filem kemasyarakatan sebegitu yang terdedah sana-sini tanpa memikirkan dosa mata yang melihat itu. Dikau membenci orang membuat maksiat terang-terangan tapi dikau dalam diam, galak melakukan maksiat secara sembunyi seakan merasakan Allah itu tidak melihat kamu. Dikau bencikan orang yang bermain ‘chat’ dengan berlainan jantina sehingga tak hirau waktu solat, tak hirau tidur malam hingga ke subuh, namun dikau lebih ligat dan pantas jemarimu menaip patah-patah perkataan yang lagha dan tidak berfaedah pada teman maya berlainan jantina dengan alasan dia hanyalah seorang kawan. Dikau inginkan daulah Islamiyyah tertegak di bumi Malaysia sana namun daulah Islamiyyah tidak tertegak dalam dirimu bahkan unsur kebaratan jauh menusuk dan mengalir di seluruh liang-liang sarafmu. Dikau bencikan budaya hidonisme( hiburan terlampau ), petikan gitar dari pemuda-pemuda Muslim, namun dikau mewajibkan telingamu agar jangan lekang dari muzik berunsur gitar dan drum.



Dikau sering bercakap dan bertutur dengan dalil dari al-Quran dan as-Sunnah, namun jauh di sudut hatimu perasaan riak, ujub dan sum’ah bila menuturkan nas-nas itu biar orang yang mendengar memikirkan dan menganggap dikau adalah hebat. Dikau sering menasihati temanmu agar menjaga masa, namun dirimu sendiri menghabiskan masa dengan tontonan cerita dan ‘game’ yang tiada kesudahan keseronokannya. Dikau sudah tidak hirau lagi dengan kethiqahan kamu sebagai seorang pelajar yang ber’name-tag’kan pelajar agama. Dikau bencikan penampilan buruk dan cara pemakaian umat masa kini, namun cara pemakaianmu pun tidak menggambarkan yang dikau adalah seorang Azhari.
Dikau bencikan jika ada orang yang mengata kamu dari belakang, namun bibirmu sentiasa basah menuturkan keaiban, kelemahan dan kesalahan orang lain terang-terangan mahupun di belakangnya dengan alasan ingin memberi pengajaran padanya dengan merasakan dikau lebih baik, lebih bagus daripadanya. Dikau hanya insan kerdil dan hina. Akulah ‘dikau’ itu. Aku malu dengan diriku….seakan bercakap tidak serupa bikin. Makin hari diriku berasa terlampau hina dan bersalah. Masa itulah, fikiran dan hatiku sentiasa dibayangi mafhum firman Allah :-“sebesar-besar dosa di sisi Allah ialah kalian bercakap dengan apa yang tidak kalian lakukan…” dan turut dibayangi mafhum sabda Nabi Muhammad e:- “orang yang awal diazab dahulu adalah orang yang ada ilmu(tentang sesuatu hukum dan dia jualah yang melakukan dosa itu) berbanding orang yang jahil” bahkan sanggup menggunakan apa jua nas untuk ditakwilkan bagi menghalalkan perbuatan dosanya itu. Aku jadi tersangat malu dengan diriku sendiri.



Ya Allah janganlah engkau golongkanku daripada golongan “ulamak suk”(ulama jahat)yang menggunakan agama untuk kepentingan hawa nafsu mereka. Aku masih rasa malu dengan diriku….Ya Allah terimalah taubat kami yang telah kami zalimi diri kami ini dengan dosa, jika engkau tidak ampunkan dan rahmati kami, sudah tentulah kami akan tergolong dari golongan yang rugi. Datangkanlah kepada kami kebaikan di dunia dan di akhirat serta jauhkanlah kami dari azab api neraka dan golongkanlah kami dari golongan yang engkau redhai dan rahmati…amin.

Comments

Popular posts from this blog

Lisanul Haq

Majlis Bacaan Musalsal bersama Syeikh Muhammad Fuad b. Kamaludin al-Maliki

Perutusan Pengerusi MTP sempena Maal Hijrah 1431