LAPORAN PROGRAM SAMBUTAN MAHASISWA/WI BAHARU (PSMB) 2016/2017

30 September dan 1 Oktober 2016 - Exco Kesenian, Kebudayaan dan Sukan, Majlis Tertinggi Pengurusan Anak-anak Negeri Sembilan Negeri Sembilan Mesir telah menganjurkan Program Sambutan Mahasiswa/wi Baharu 2016/2017. Objektif program ini diadakan adalah untuk melahirkan generasi ilmuan yang terarah, bermotivasi , berdaya saing dan bertanggungjawab dengan mengadakan slot-slot motivasi dan sebagainya. Selain itu, program ini bertujuan untuk memberikan pendedahan tentang suasana pembelajaran, kehidupan berpersatuan dan suasana  hidup di bumi Mesir supaya mahasiswa/wi baharu bersedia dan dapat menyesuaikan diri dengan suasana di Ardul Kinanah ini. Seterusnya, program ini diadakan bagi mengeratkan ukhuwah antara pelajar baharu dengan pelajar-pelajar lama khususnya pelajar-pelajar Negeri Sembilan yang berada di bumi Mesir ini.

30 September 2016, Jumaat.
Seramai 11 orang pelajar dan 2 orang pegawai pengiring yang menyertai rombongan ini telah tiba di Lapangan Terbang Kaherah yang terdiri daripada 8 orang pelajar tajaan MAINS dan 3 orang pelajar KPT. Pada pukul 4.15 pagi, mereka sampai di RNSK dan disambut oleh penghuni RNSK. Kemudian mereka diberi taklimat ringkas oleh pengarah PSMB, Muhammad Faiz bin Norzlan mengenai program ini, seterusnya taklimat bilik oleh Unit Disiplin dan Protokol, Syafiq Khaled bin Muhamad dan taklimat mengenai pengumpulan 100 usd setiap seorang oleh bendahari, Muhammad Hazim Azfar bin Jalaludin.
Slot pertama bermula pada jam 8.30 pagi, dengan membacakan peraturan-peraturan PSMB dan pengenalan Ahli Jawatankuasa PSMB pada sesi kali ini. Seterusnya, program diteruskan dengan nyanyian lagu tema “Suci Dalam Debu” dan penerangan daripada lagu tema tersebut yang mana ia diterjemahkan dengan keperibadian seorang muslim iaitu diri kita sendiri. Program disambung dengan Pengenalan Majlis Tertinggi Pengurusan Anak-anak Negeri Sembilan Mesir (MTPANSM) yang disampaikan oleh Ustaz Muhammad Fikri bin Kamarudin pada jam 8.50 pagi berserta taaruf setiap exco MTPANSM.
Aktiviti pertama bertajuk “Eye On Egypt” bermula pada jam 9.30 pagi dan disampaikan oleh Ustaz Khairuddin bin Norizan yang mana membentangkan tentang realiti kehidupan di Mesir. Selepas itu para peserta diarahkan untuk mengisi borang-borang yang terdapat didalam fail antaranya borang MTP, borang permohonan menduduki asrama RNSK dan borang EME.
Program tamat pada jam 11.00 pagi untuk pelajar berehat dan  bersiap sedia untuk Solat Jumaat bagi peserta ikhwah. Pada jam 4.00 petang pula, para peserta dibawa keluar menjelajah Hayyu Sabi’ untuk membeli sim-card dan mengenalkan tempat-tempat di sekitarnya. Pada sebelah malam, seusai Solat Maghrib berjemaah, lebih kurang jam 6.41 petang, program diteruskan dengan slot kedua iaitu Majlis Ramah Mesra bersama Pegawai RNSK iaitu Encik Ibrahim bin Noor Azam. Program hari ini berakhir pada jam 7.45 malam.

1 Oktober 2016, Sabtu
Program pada hari kedua diteruskan dengan Tazkirah Subuh oleh peserta akhawat, Nursyuhada binti Mohd Shapian. Slot ketiga bermula pada jam 8.45 pagi dengan tajuk Wacana Membuka Minda yang berkisarkan tentang Kuliah vs Talaqi vs Persatuan dan disampaikan oleh pengisi jemputan luar, Doktor Imran bin Kasran, Ketua Jabatan Pembangunan Insan dan Sukan dan Aktiviti Luar, PERUBATAN. Kemudian diadakan cabutan bertuah untuk mengisi masa lapang.
Slot keempat diteruskan lagi pada jam 10.30 pagi dengan slot Integrasi Kuliah yang mana setiap peserta dibahagikan mengikut kuliah dan bidang masing-masing. Antara bidang yang ada ialah Pergigian Azhar, Perubatan Azhar, Perubatan Kaherah, Bahasa Arab, Syariah Islamiah, Usuluddin dan Ulum Islamiah.
Pada jam 1.00 petang, program diisi dengan aktiviti kedua iaitu “Tahya Mesr Ummu Dunya” atau lebih dikenali dengan slot Bahasa Ammiah yang disampaikan oleh Ustazah Siti Khadijah binti Azmin. Dalam aktiviti ini, Ustazah Khadijah telah membuat pembentangan dalam slide show dan membahagikan peserta kepada beberapa kumpulan untuk Latihan Dalam Kumpulan. Aktiviti ini tamat pada jam 3.00 petang.
Pada jam 4.00 petang pula, para peserta dibawa ke Hadiqah Dauliah dalam acara sukaneka. Bagi peserta ikhwah telah diadakan permainan futsal dan bagi peserta akhawat diadakan permainan explorace. 
Seterusnya pada jam 8.00 malam telah berlangsung Majlis Penutupan PSMB 2016/2017. Majlis ini dipengerusikan oleh salah seorang peserta iaitu saudara Muhammad Aliff bin Ikmal Hisham dan dimulakan dengan Alunan Asmaul Husna, nyanyian lagu tema dan bacaan doa. Majlis diteruskan dengan Ucapan Pengarah PSMB, Muhammad Faiz bin Norzlan, ucapan Pegawai Sementara Rumah Negeri Sembilan Kaherah, Encik Ibrahim bin Noor Azam dan ucapan ketua rombongan Majlis Agama Islam Negeri Sembilan, Encik Hazmie bin Abd Kadir. Penyampaian cenderahati kepada para peserta menyusul selepas itu beserta penyampaian Anugerah Peserta Terbaik bagi ikhwah, saudara Shafiy Arif Alfath bin Abu Bakar, dan bagi akhawat saudari Ainul Balqis bin Azhar. Seterusnya penyampaian sijil penghargaan kepada AJK Pelaksana PSMB sesi 2016/2017. Para pelajar serta tetamu yang hadir juga telah disajikan dengan persembahan daripada pelajar baru dan tayangan video sepanjang program. Para tetamu dijamukan dengan sedikit jamuan makan malam dan bersurai pada jam 10.30 malam.

4 Oktober 2016, Selasa
Pihak AJK Pelaksana PSMB telah bersepakat untuk mengadakan Jaulah Iskandariah pada hari ini. Seramai 39 orang telah menyertai jaulah ini yang mana terdiri daripada peserta PSMB sendiri dan beberapa orang penghuni RNSK untuk mengisi kekosongan tremco yang telah ditempah iaitu sebanyak tiga buah tremco. Seawal jam 6.00 pagi, bertolak dari RNSK ke Iskandariah. Antara tempat yang dilawati ialah Montaza, Qol’ah Qaitbay, Bibliotheca Alexandria, Masjid Abu Al-Abbas Al-Mursi serta ziarah maqam di sekitarnya dan akhir sekali makan malam ni Restoren Asmaa’ Sya’ban. Lebih kurang jam 12.00 pagi, semua pelajar telah selamat tiba di RNSK.

8 Oktober 2016, Sabtu
Jaulah Kaherah pula menyusul pada hari ini bagi peserta PSMB. Beberapa orang penghuni RNSK juga turut serta untuk mengisi kekosongan bas dan jumlah kesemuanya adalah 40 orang pelajar. Perjalanan bermula pada jam 7.30 pagi dan antara tempat yang dilawati ialah Piramid Giza, Great Sphinx of Giza, Qol’ah Salahuden Al Ayubi, dan Masjid Amru Al Asr. Pada jam 6.45 petang, para pelajar telah selamat pulang ke RNSK.

Semoga PSMB pada tahun ini dapat mencapai objektif yang telah digariskan dan matlamat yang dicita. Segala kerjasama daripada semua pihak secara langsung mahupun tidak langsung amatlah dihargai dalam menjayakan program ini. Alhamdulillah, segala program dan aktiviti yang telah disusun telah berjalan dengan jayanya. Diharapkan program yang bermanfaat seperti ini dapat diadakan lagi pada tahun seterusnya. Insyaallah.

Disediakan oleh,

SITI ATHIRAH BINTI ABDUL RAHIM
Setiausaha,
Program Sambutan Mahasiswa/wi Baharu (PSMB) 2016/2017



Comments

Popular posts from this blog

KUNJUNGAN RASMI DELEGASI JABATAN MUFTI NEGERI SEMBILAN KE RUMAH NEGERI SEMBILAN KAHERAH (RNSK)

*[MAKLUMAN PENANGGUHAN KELAS TAFAQQUH FIDDIN]*

[ZIARAH MAHABBAH ]