LAPORAN PROGRAM IHTIFAL AIDIL ADHA (IhADH) 2016

Pada 12 September 2016 yang lalu, Exco Dakwah dan Tarbiah dengan kerjasama Exco Kesenian, Kebudayaan dan Sukan, Majlis Tertinggi Pengurusan Anak-anak Negeri Sembilan Mesir telah mengadakan Sambutan Hari Raya Aidil Adha yang diberi nama Ihtifal Aidil Adha (IhADH) 2016. Objektif program ini diadakan adalah bertujuan untuk menghidupkan ibadah korban yang sinonim dengan Hari Raya Aidil Adha, menterjemahkan pengajaran dari pengorbanan Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail ke dalam realiti kehidupan masa kini serta menerapkan sikap patriotisme dan cintakan tanah air, seterusnya  mengeratkan ukhuwah diantara anak-anak Negeri Sembilan yang berada di bumi Mesir ini. Tema program pada kali ini ialah “Pengorbanan Dalam Kemerdekaan”.

Ihtifal Aidil Adha kali ini diadakan di Rumah Negeri Sembilan Kaherah. Seawal jam 5.00 pagi, penghuni RNSK telah bergerak ke Masjid Libi untuk menunaikan Solat Sunat Hari Raya bersama warga tempatan Mesir. Pulang dari solat sunat, para penghuni telah mengadakan Salam Perantau iaitu bergambar kenangan beramai-ramai. Aktiviti diteruskan lagi dengan Sesi Qurban bermula dengan penyembelihan kambing dan gotong-royong iaitu rewang masak-memasak.

Selepas Solat Maghrib program diteruskan lagi dengan Jamuan Hari Raya yang diadakan di Dewan Syeikh Abdul Qadir Al Jailani, RNSK. Antara yang menarik pada malam ini ialah telah diadakan tazkirah daripada Pegawai RNSK, Encik Ibrahim bin Noor Azam, majlis penyampaian hadiah bagi aktiviti-aktiviti yang telah dipertandingkan iaitu pertandingan “Selfie Qurban Merdeka” dan melukis poster. Seterusnya, jamuan raya sambil dihidangkan tayangan filem “Queen of Langkasuka” yang bertemakan patriotik. Akhir sekali, telah diadakan slot bergambar.

Program Sambutan Ihtifal Aidil Adha ini telah berjaya dengan jayanya. Jutaan terima kasih diucapkan kepada semua pihak yang telah menyumbang secara langsung mahupun tidak dalam program ini. Semoga objektif dan matlamat yang digariskan tercapai dan semoga program seperti ini dapat diadakan lagi pada masa akan datang. Insyaallah. Sekian, terima kasih.

Disediakan oleh,
SITI ATHIRAH BINTI ABDUL RAHIM
Setiausaha,
Ihtifal Aidil Adha (IhADH) 2016.


Comments

Popular posts from this blog

KUNJUNGAN RASMI DELEGASI JABATAN MUFTI NEGERI SEMBILAN KE RUMAH NEGERI SEMBILAN KAHERAH (RNSK)

*[MAKLUMAN PENANGGUHAN KELAS TAFAQQUH FIDDIN]*

[ZIARAH MAHABBAH ]