MENASIHATI DAN DINASIHATI

 RISALAH LISANUL HAQ keluaran KE-10 


“ Daripada Abu Ruqaiyyah Tamim ibn Aus Al-Daarie r.a. bahawa Nabi s.a.w. telah bersabda: “Agama itu adalah nasihat”. Kami berkata: “Untuk siapa?” Baginda bersabda: “Untuk Allah, untuk kitabNya, untuk rasulNya, untuk para Imam kaum muslimin dan untuk umat Islam seluruhnya”.
                                                                                                                                                                        HR Muslim

Hadis di atas yang merupakan hadis yang ke-7  dalam kitab hadis 40 karya mam Nawawi, jelas          menunjukkan bahawa nasihat itu penting dalam   kehidupan seseorang muslim. Tanpa nasihat, tidak mungkin akan wujud suasana yang tenteram dalam dunia ini kerana dengan adanya nasihat, maka seseorang yang melakukan kesalahan itu akan sedar akan kesilapannya melalui nasihat yang  diberikan.

       Sa’id bin Jubair berkata: “Apabila seseorang  tidak memerintahkan kepada kebaikan dan tidak pula mencegah dari yang munkar, hingga ia menunggu dirinya bebas dari kesalahan, maka tidak akan ada seorang pun yang memerintahkan kepada kebaikan dan tidak pula mencegah dari yang munkar”.

Imam Malik setelah mendengar perkataan Sa’id bin Jubair berkata: “Benar apa yang dikatakan Sa’id. Siapakah yang tidak memiliki sedikitpun dosa dalam dirinya?”.

Al-Hasan berkata kepada Mutharrif bin ‘Abdillah: “Berilah nasihat kepada sahabat-sahabatmu”.

Mutharrif menjawab: “Sesungguhnya aku takut   mengatakan apa yang tidak aku kerjakan”.

Al-Hasan berkata lagi: “Semoga Allah merahmati dirimu. Tidak ada seorang pun di antara kita yang melakukan semua yang diperintahkan Allah. Syaitan akan gembira apabila kita berfikir seperti itu         sehingga tidak ada seorangpun yang memerintah kepada kebaikan dan tidak pula mencegah dari    kemungkaran”.

 Berkata Ibnu Hazm: “Apabila orang yang mencegah dari perbuatan keji mesti orang yang tidak memiliki kesalahan, dan orang yang memerintah kepada   kebaikan mesti orang yang selalu mengerjakan    kebajikan, maka tidak ada seorangpun yang mencegah dari yang mungkar dan tidak ada seorang pun yang mengajak kepada kebaikan setelah Nabi Muhammad s.a.w.

   Kisah di atas jelas menunjukkan bahawa manusia itu sememangnya tidak sempurna dan memerlukan nasihat. Oleh itu, kita sebagai muslim yang mengharapkan keredhaan Allah perlu sentiasa   berusaha untuk memperbaiki diri dan juga mengajak saudara-saudara kita ke arah kebaikan.
    Dalam memberi nasihat atau menerima nasihat, kita memang tidak dapat mengelak dari mengalami situasi di mana orang yang dinasihati itu melenting atau melawan. Oleh itu, Islam telah menggariskan adab-adab dalam memberi nasihat, antaranya :
 1) Mengikhlaskan niat ketika menegur  kerana nasihat yang keluar dari hati yang ikhlas pasti akan               memberi kesan yang terbaik.
2) Menegur secara berhikmah : mempunyai hujah-hujah yang kukuh tentang perkara yang ditegur.
3) Menjaga tutur kata iaitu menggunakan     bahasa yang halus dan lembut.
4) Menggunakan kaedah dan waktu yang   terbaik iaitu mengenali sikap dan karakter orang yang dinasihati sebelum menasihatinya.
 5) Menjaga silaturrahim iaitu tidak menggores hati orang yang dinasihati dan menjaga aibnya.   Sebahagian ulama berkata, “Barangsiapa yang menasihati seseorang dan hanya ada mereka berdua, maka itulah nasihat yang sebenarnya. Barangsiapa yang menasihati saudaranya di depan banyak orang, maka yang demikian itu mencela dan mencelakan orang yang dinasihati.”

6) Memberi masa kepada orang yang dinasihati untuk berubah dan tidak memaksanya.
7) Menasihati diri sendiri lebih dari menasihati orang lain, seperti firman Allah Taala dalam surah Al-Baqarah, ayat 44 : “Patutkah kamu menyuruh manusia supaya berbuat kebaikan sedang kamu lupa akan diri kamu sendiri; padahal kamu semua membaca Kitab Allah, tidakkah kamu      berakal”.
 Berdasarkan Surah al-A'raf, ayat164:  "Dan (ingatlah) ketika segolongan di antara mereka berkata: 
"Mengapa kamu menasihati kaum yang Allah akan membinasakan atau mengazabkan mereka dengan azab yang amat berat?", iaitu ketika orang Israel melanggar ketentuan hari Sabat iaitu berburu pada hari yang diharamkan oleh Allah, maka ada segolongan manusia yang ingin mengingatkan kaum Israel itu telah ditegur oleh   segolongan lain dengan mengatakan ayat tersebut. Kemudian mereka menjawab dalam surah al-A’raf, ayat yang sama : "Orang-orang (yang memberi nasihat) itu menjawab: (Nasihat itu ialah) untuk melepaskan diri dari bersalah kepada Tuhan kamu dan supaya bertakwa."Allah SWT juga berfirman dalam surah al-A'la, ayat 9:   

"Oleh itu berilah peringatan (kepada umat manusia dengan ajaran Al-Quran), kalau-kalau peringatan itu berguna (dan sudah tentu berguna)."

 Kesimpulannya, nasihat yang lahir dari hati pasti akan terkena pada hati juga. Sebagai muslim yang memelihara agama, kita perlulah berusaha menjaga kemaslahatan saudara seIslam dengan cara memberi nasihat walau dalam apa  cara sekalipun dan juga menerima nasihat dari orang lain walaupun mereka yang lebih muda dengan hati yang terbuka. WaAllahuA’lam.
                                                               
                                                                                                       EXCO DAKWAH  & TARBIYAH MTPANSM 2011/12

Comments

Popular posts from this blog

KUNJUNGAN RASMI DELEGASI JABATAN MUFTI NEGERI SEMBILAN KE RUMAH NEGERI SEMBILAN KAHERAH (RNSK)

*[MAKLUMAN PENANGGUHAN KELAS TAFAQQUH FIDDIN]*

[ZIARAH MAHABBAH ]