Sempena Sesi Pengajian Yang Baru

Sesi pengajian 2010/11 telah pun bermula secara rasmi. Tambahan lagi dalam tempoh sebegini, masih ada lagi negeri yang sibuk menyambut pelajar-pelajar baru yang datang untuk menyambung pengajian di sini. Esok dan 5 Oktober, adik-adik yang baru perlu menduduki Ujian Kelayakan Bahasa Arab (Imtihan Qabul). Namun begitu, bagi sahabat-sahabat senior, perjuangan perlu diteruskan lagi. Yang tahun satu telah pun naik ke tahun dua begitu juga seterusnya. Dalam masa yang sama, ada kalangan sahabat-sahabat yang telah pun berjaya menamatkan pengajian. Ada yang telah pulang dan ada lagi yang masih menunggu untuk menyertai konvokesyen. Semoga kejayaan mereka bergelar graduan akan mendorong adik-adik dan sahabat-sahabat yang lain untuk terus memacu kejayaan.


Sesi pengajian yang baru kali ini perlu dimulakan dengan niat dan azam yang baru. Niat dan azam untuk mencapai kejayaan yang lebih baik. Niat dan azam untuk memperbaiki kelemahan yang ada. Namun niat sahaja tidak mencukupi, ia memerlukan pengorbanan dari sudut masa, tenaga dan harta. Tidak ada kejayaan yang boleh dicapai dengan mudah tetapi tidak bererti ia mustahil untuk dicapai.

Sesi pengajian yang baru kali ini memerlukan langkah baru yang lebih kemas. Persediaan yang rapi dan cara hidup yang lebih bersistematik. Kita sedia maklum bahawa silibus pengajian dari satu tahun ke tahun yang lain sememangnya berbeza. Lebih sukar dan mencabar. Menuntut kita untuk melakukan pengorbanan yang lebih sedikit berbanding tahun sebelumnya. Bagi yang mengulang, sesi baru adalah masa untuk melakukan perubahan serta berusaha membaiki kelemahan yang menghalang kita daripada mencapai kejayaan.

Jika dinilai dari prestasi akademik bagi sesi 2009/10, ternyata terdapat sedikit kemerosotan terutama dalam kalangan para pelajar tahun satu sesi tersebut. Adakah di sana wujudnya kelemahan dan halangan? Atau suasana di Mesir tidak menyokong pembelajaran atau ada alasan yang lain? Saya secara peribadi melihat bahawa punca utama kegagalan dalam peperiksaan adalah kelemahan Bahasa Arab yang ketara. Penguasaan Bahasa Arab yang kurang sempurna membantutkan proses pembelajaran ditambah pula dengan faktor sikap. Oleh itu, perkara ini perlu diperbaiki untuk mencapai kejayaan pada sesi ini dan sesi akan datang. Penguasaan Bahasa Arab perlu diperkukuhkan lagi. Ia memerlukan kita untuk mengubah sikap malas yang selama ini membelenggu diri. Malas bertutur dalam Bahasa Arab (lebih tepat lagi malu nak bercakap Arab), malas membaca, malas ke kuliah, malas nak berbincang dan malas-malas yang lain lagi. Semua ini perlu diperbaiki. Namun ia boleh diperbaiki jika kita memiliki kesedaran untuk berubah. Kesedaran akan mendorong kepada tindakan. Tindakan yang betul akan membuahkan kejayaan di samping doa dan tawakal.

Semoga sesi baru kali ini menyedarkan kita bahawa perjuangan masih berlanjutan. Masyarakat memerlukan kita. Kita perlu mengisi kekosongan yang ada. Manfaatkan segala kelebihan yang ada di bumi Mesir ini. Mudah-mudahan kita benar-benar bersedia untuk menjadi pembimbing masyarakat nanti. Tugas kita berat. Bukan sekadar untuk lulus peperiksaan secara cukup makan. Perlu ada persediaan yang menuntut kita mengaut lebih lagi ilmu-ilmu selain yang dipelajari di kuliah.

Salam kuliah!

Danial Farhan bin Dolmat,
Ketua Unit Pendidikan,
MTP.

Comments

Popular posts from this blog

KUNJUNGAN RASMI DELEGASI JABATAN MUFTI NEGERI SEMBILAN KE RUMAH NEGERI SEMBILAN KAHERAH (RNSK)

*[MAKLUMAN PENANGGUHAN KELAS TAFAQQUH FIDDIN]*

[ZIARAH MAHABBAH ]