Memilih Ilmu

Sebelum datang ke Mesir, kita didedahkan dengan bermacam-macam cerita tentang Mesir. Antara cerita yang paling menarik ialah bumi Mesir kaya dengan para ulama'. Ia adalah cerita yang benar. Hendak belajar dengan mana-mana ulama' di sini pun tak kisah dalam pelbagai bidang ilmu. Terlalu ramai. Sama ada di Masjid al-Azhar mahupun di halaqah-halaqah pengajian yang lain.
Ada sesetengah orang yang datang ke Mesir berniat untuk belajar sebanyak yang mungkin. Niat yang baik dan murni. Cuma kadangkala kita keliru dalam memilih ilmu yang perlu dipelajari. Ada orang yang pada asalnya bersemangat bila datang ke sini, memasang niat untuk mengaut ilmu banyak-banyak. Namun kemudiannya niat tersebut luntur kerana dia keliru dan terpinga-pinga dalam memilih ilmu yang patut ditadah disebabkan ilmu yang ada di bumi Mesir ini terlalu banyak. Kitab-kitab yang dibaca dalam majlis-majlis ilmu juga terlalu banyak dalam semua bidang ilmu. Bila ini berlaku, maka niat pun luntur. Semangat pun kendur. Lalu azam pun menjadi hangat-hangat tahi ayam. Inilah akibatnya bila tidak menguasai fiqh aulawiyyat dengan baik. Realitinya ilmu itu terlalu luas. Mustahil untuk dikuasai semuanya. Namun tidak juga boleh ditinggalkan kesemuanya. Guru kami al-'Allamah al-Imam Sayyid Muhammad Kholil al-Khotib al-Hasani menyatakan (dalam bentuk qasidah):

Ketahuilah! Engkau tidak akan dapat mencapai kesemuanya (ilmu itu);
Walaupun engkau hidup lama di dunia.

Oleh itu, kuasailah dari setiap ilmu itu asas-asasnya;
Agar musuh-musuhmu tidak melihat kejahilanmu padanya.

Ya! Ilmu itu terlalu luas. Memang tidak mampu untuk dikuasai kesemuanya. Justeru itu, guru kami menyarankan supaya kita menguasai kunci setiap ilmu. Kalau tidak mampu semua, sebahagian besarnya sahaja. Bila kunci dapat dipegang, mudahlah untuk masuk mana-mana pintu yang kita ingini.

Bila belajar di Mesir, kita kena tahu ilmu apa yang perlu dipelajari dan dikuasai dengan baik. Bukan semua ilmu perlu dipelajari. Di sini, saya cuba untuk memberi saranan tentang ilmu yang perlu kita kuasai sepanjang berada di sini supaya boleh dijadikan bekalan bila pulang ke tanah air nanti.

Pertama sekali, kita perlu memberi tumpuan kepada bidang masing-masing. Bagi yang mengambil bidang Syariah misalnya, maka tumpuan yang lebih perlu diberikan untuk menguasai bidang tersebut dengan baik dan secara masak. Begitu juga dengan mereka yang mengambil bidang Usuluddin, Bahasa Arab, Pengajian Islam, Qiraat dan Perubatan. Kita perlu menguasai bidang yang kita pilih dengan baik kerana ia adalah tanggungjawab yang pertama dan utama. Pastikan kita jadi pakar dalam bidang masing-masing.

Yang kedua, perkara asas yang perlu dititik beratkan ialah penguasaan Bahasa Arab yang baik. Ini yang saya maksudkan sebagai kunci untuk membuka pintu-pintu ilmu yang lain. Asas-asas Bahasa Arab perlu dikuasai dengan baik kerana ia akan membantu kita untuk memahami ilmu yang disampaikan oleh para masyaikh dan para pensyarah kita serta memudahkan kita untuk membaca kitab.

Yang ketiga, dalam memilih ilmu kita perlu peka dengan realiti dan keperluan masyarakat kita di Malaysia, khususnya di Negeri Sembilan. Berdasarkan penelitian saya, ilmu-ilmu yang perlu kita kuasai sesuai dengan keperluan masyarakat adalah ilmu Akidah, Fiqh, Tasawuf dan Hadith. Kemudian, bukan semua kitab kita perlu tadah. Dalam ilmu Akidah, memadailah sebuah kitab sahaja. Begitu juga Fiqh. Tasawuf pun memadailah dengan sebuah atau dua buah kitab. Tambahan pula, Mesir adalah bumi yang kaya dengan ulama' tasawuf. Tariqat pun banyak. Maknanya boleh belajar tasawuf secara teori dan praktikal. Untuk ilmu Hadith pula, kita perlu khatamkan kitab-kitab hadith yang kecil secara bersanad di samping mengikuti pengajian hadith Sohih al-Bukhori (paling kurang) ataupun mengikut majlis pembacaan hadith. Sebelum saya terlupa, antara perkara yang tidak boleh kita tinggalkan ialah al-Quran. Sebagaimana yang guru kami Sayyid Asyraf al-Husaini pernah berpesan, sekurang-kurangnya mesti khatam al-Quran sekali di hadapan syeikh yang mempunyai ijazah dan sanad.

Yang keempat, dalam kesibukan menimba ilmu-ilmu yang disebutkan di atas, kemahiran berorganisasi pun perlu diasah. Ia penting untuk melatih bakat kepimpinan dan muamalah bersama masyarakat. Malah sebenarnya, medan berorganisasi adalah platform untuk kita mempraktikkan apa yang kita pelajari di kuliah dan majlis-majlis ilmu.

Kesimpulannya, kita perlu bijak dalam menilai ilmu yang perlu diutamakan untuk dikuasai. Untuk menilai, kita perlu peka dengan kehendak dan keperluan masyarakat kita. Semoga kita terus bersemangat untuk menuntut ilmu di bumi yang berkat ini.

Danial Farhan bin Dolmat,
Ketua Unit Pendidikan,
MTP.

Comments

  1. assalamualikum
    berdasarkan pengalaman ,memang patut pun sume belajar fiqh awlawiyyat. tp berilah peluang untuk mereka yg belum faham kerana setiap orang itu bermula dari tidak tahu dan mahu tahu.. azhari bole!

    ReplyDelete

Post a Comment

Popular posts from this blog

KUNJUNGAN RASMI DELEGASI JABATAN MUFTI NEGERI SEMBILAN KE RUMAH NEGERI SEMBILAN KAHERAH (RNSK)

*[MAKLUMAN PENANGGUHAN KELAS TAFAQQUH FIDDIN]*

[ZIARAH MAHABBAH ]