Suci Yang Najis : Kewajipan Bagi Hati



Telah berkata seorang Sufi tatkala melihat seekor anjing :

"engkau najis tetapi hatimu suci dan aku suci tetapi hatiku najis".

Tatkala hatimu melakukan dosa , siapa yang tahu melainkan Allah. Dirimu diamanahkan dengan seketul daging bernama hati. Ianya kecil pada saiz tetapi besar pada amanah.

Hati itu jika dijaga , disemai dan dibajai dengan benih zikrullah , tumbuhlah ia dengan baik , segar dan subur kerana jauhnya ia dari kesibukkan dunia yang menipu.

Tetapi jika ianya dicemari , dikotori dan diisi dengan najis maksiat , rosaklah ia , busuk sehingga tidak terhinggap dek lalat apatah lagi ulat.

Jikalau Allah menzahirkan rosaknya hatimu , sudah tentu baunya tidak tertanggung oleh hidungmu , apalagi orang di sekelilingmu.

Hati ini wajib dijaga , ianya mahkota pemerintah pada sebuah kerajaan. Kerajaanmu yang kecil itu akan dipertangungjawabkan di akhirat nanti. Setiap negeri akan mengadu domba pada Penciptanya. Lidahmu , telingamu , matamu , tanganmu , kakimu bahkan kemaluanmu. Dan akhirnya semua akan berkata , "Hatilah puncanya!!".

Pada kitab Mukhtasar Sheikh Abdullah Al-Harari , ringkasan pada kitab Sulamul Taufik lil Mahabbatillah. Pada bahagian Tasawuf (الواجبات القلبية) ada menyatakan :

من الواجبات قلبية الإيمان بالله وبما جاء عن الله والإيمان برسول الله وبما جاء عن رسول الله

Maksudnya : Di antara KEWAJIPAN HATI ialah BERIMAN KEPADA ALLAH dan dengan APA YANG DATANG DARIPADA ALLAH dan BERIMAN KEPADA RASULULLAH dan dengan PERKARA YANG DATANG DARIPADA RASULULLAH.





Hal ini menjadi wajib padamu untuk ditanam di dalam hatimu. Menjadi urusan imanmu. Hati ini tempatmu mengingati Allah , mencintai Rasulullah. Jika diisi dengan yang lainnya , akan cemburulah bagi yang layak untuknya.

Hatta sebagian sufi yang syadid mengatakan , "jikalau di dalam hatimu itu ada selain dari Allah , engkau sesungguhnya telah berlaku SYIRIK kerana hatimu berpaut pada yang lain selain Allah".

Ini hal iqtikad , urusan keimanan. Setiap yang datang dari Allah dan Rasul Nya tidak boleh dipertikaikan. Tidak boleh di timbang tara dengan akal sekalipun. Adapun perintah Rasul , bergantung kepada ahwal situasi , tetapi sesekali tidak bersalahan dengan syariat. Ada yang sesuai untuk umat , ada pula yang khusus untuk para Anbiya'. Perintah Allah , mustahil untuk dipersoalkan. Taatlah.

Nabi Musa A.S semasa dikejar bala firaun , Allah memerintahkannya memukul tongkatnya pada laut. Nabi Musa A.S tidak tahu bahawa laut akan terbelah , tetapi TAAT Nabi Musa A.S tanpa mempersoalkan perintah Allah , dipukulnya dan menjadilah laluan baginya dan umatnya.

Nabi Nuh A.S diperintahkan membina bahtera. TAAT Nabi Nuh A.S membinanya lama. Dipanggil gila , mabuk dan tidak berakal. Membina bahtera di padang pasir. Tetapi TAAT Nabi Nuh tidak mempersoalkan perintah Tuhannya. Selamat baginda dari banjir besar.

Menjaga Hati bererti menjaga diri. Manjaga peribadi , menjaga maruah. Menjaga Ikhtilat!!. Seringkali tanganmu ligat menekan butang telifon bimbit. Petah , laju , menaip whatsapp dan comment. Wah !! manis sungguh ayat dan pujian. Pujuk memujuk. Berbunga-bunga. Tetapi murah.. Low class. Terkadang sampai free.. Maaf !! Ianya nasihat yang pahit tetapi nanti kau akan rasa manisnya. Bila kau tahu apa  maksud sebenar hati yang bercinta.

Hati yang bercinta bukan berwhatsapp romantika atau bercomment mesra. Tetapi HATI YANG BERCINTA ITU HATI YANG MERINDUI. Merindui tidak datang dengan maksiat zina tangan , mata , hati dan anggota lain. Merindui itu mujahadah yang bersih. Ianya tidak perlu disapa sesiapa. Hati terpaut , doa diangkat. Hati yang bercinta disibukkan dengan kekasih yang hakiki. Allah. Inilah hakikatnya Hati yang bercinta.

Hakikat hati , hanya milik Allah yang bersifat Baqa' iaitu kekal tiada menerima binasa. Maka setiap pasangan yang bercinta jika ditanya adakah mereka mahu kekal bercinta , pasti mereka akan menjawab "Ya". Maka itulah hakikat hati yang bercinta. Setiap orang ingin kekal bersama pasangan mereka , kekal di sini tidak ada yang lain melainkan Allah. Allah sahaja yang kekal Baqa'. Maka fitrah manusia itu sebenarnya inginkan Allah , ingin mencintai Allah , tetapi telah terlupa kerana indahnya dunia dan sempurnanya si dia yang menerima binasa.

Hati yang bercinta itu adalah hati yang merindui. Jika rindu itu dipandu dengan taqwa (taat kpd perintahNya dan menjauhi laranganNya) , subhanallah !! Ianya indah , ada kuasa tawakkal di dalamnya , ada kuasa redha di dalamnya ada pula kuasa kasih yang agung. Lihat sahaja kisah cinta Saidina Ali dan Saidatina Fatimah. Menjaga dan memendam , dilamar ramai pemuda dan sahabat baginda Nabi (صل الله عليه وسلم). Tetapi Allah tahu isi hati mereka. Rasulullah tahu isi hati mereka. Akhirnya dijodohkan Allah. Jagalah Ikhtilat , nampaknya kecil , tetapi kesannya besar. Fitnah , Futur , Kecewa dan lain-lain bermula dengan tidak menjaga ikhtilat. Lagi-lagi kita di zaman fitnah. Berhati-hati hawa , lelaki soleh pun ada nafsu. Mereka bukan maksum , bukan malaikat!!. Ada yang kata , kami nak kawan-kawan sahaja , yang kata kawan memang hendak berkawan tetapi yang dikawan belum tentu nak kawan. Harapan diberi , yang dikawan akan berharap lebih dari seorang kawan..

Hati itu negeri yang kaya , padanya ada kekayaan mahmudah , ada juga kekayaan mazmumah. Tidak dapat tulis semuanya , nanti panjang berjela. Bangsa kita pula "ada" yang malas membaca (bukan semua). In shaa Allah jika rajin ditulis lagi.

Maka saya ulangi kata-kata sufi kepada seekor anjing itu tadi.

"engkau najis tetapi hatimu suci dan aku suci tetapi hatiku najis".

Fikirkanlah dan Semoga Bermanfaat.

*Nafisatul Ilmi*


Comments

Popular posts from this blog

KUNJUNGAN RASMI DELEGASI JABATAN MUFTI NEGERI SEMBILAN KE RUMAH NEGERI SEMBILAN KAHERAH (RNSK)

*[MAKLUMAN PENANGGUHAN KELAS TAFAQQUH FIDDIN]*

[ZIARAH MAHABBAH ]