CINTA RASULULLAH S.A.W., CINTA TERINDAH




Dua kalimah syahadah adalah bukti bahawa cinta kepada Allah s.w.t dan Rasulullah s.a.w. tidak terpisah. Cinta Allah s.w.t itu tujuan, cinta Rasulullah s.a.w itu jalan. Tidak mungkin tercapai tujuan “lailahaillallah” tanpa mengikut jalan “Muhammad Rasulullah”


Keyakinan kita kepada Allah s.w.t adalah atas curahan ilmu, didikan, bimbingan dan pimpinan Rasulullah s.a.w. Justeru, Rasulullah s.a.w itu manusia biasa yang sangat luar biasa. Baginda tidak dididik oleh manusia, tetapi dididik oleh Allah s.w.t. Kata-katanya tidak pernah sia-sia melainkan terpandu segalanya oleh wahyu. Allah s.w.t berfirman yang bermaksud:


Rasulullah s.a.w tidak berkata melainkan wahyu Allah s.w.t.”


(Surah al-Najm 53: 3-4)


Jika hati mencintai kebaikan, maka butalah hati itu jika tidak mencintai Rasulullah s.a.w. kerana bagindalah insan terbaik dan paling banyak menabur kebaikan. Jika hati mencintai keindahan, maka matilah hati itu jika tidak jatuh cinta kepada keindahan Rasulullah s.a.w., senyuman, sapaan, teguran, bahkan marahnya sekalipun tetap indah.


Kita masih boleh membayangkan seorang yang pernah mengikat perutnya dengan batu bagi menahan kelaparan ketika berjihad. Baginda insan yang pernah patah giginya oleh asakan dan tusukan senjata musuh. Kenangi seorang insan yang pernah luka-luka dilontar dengan batu-batu, dilempari najis dan bangkai, diperosok ke dalam duri dan lubang, akhirnya dikepung untuk dibunuh hanya kerana ingin menyampaikan iman dan Islam buat manusia.


Kebaikan Rasulullah s.a.w. bukan sahaja dinikmati oleh generasi yang hidup bersama-samanya, tetapi melampaui masa, zaman dan keadaan. Cinta baginda turut menyentuh hati kita, cinta tidak semestinya bertemu, cinta tidak semestinya bersama. Dimensi cinta ialah ukuran rasa, bukan oleh jarak yang jauh atau masa yang panjang dan pendek. cinta merombak batasan masa, jarak dan ruang.


Inilah insan yang sewajarnya dicintai. Insan yang tidak akan lega tanpa dijanjikan keselamatan buat umatnya. Insan yang telah pergi menemui al-Rafiq al-A‘la  (Teman daerah tinggi iaitu Allah s.w.t) tanpa mewariskan sebarang harta. Bahkan menurut ahli sejarah, ketika itu lampu di rumahnya sudah kehabisan minyak. Itulah cinta Rasulullah s.a.w.. Itulah yang mesti ada dalam jiwa agar kita berpeluang bersama-samanya di dalam syurga. Dan sewajar kita selalu bertanya kepada hati sendiri, “Di mana Rasulullah s.a.w. di hati kita?”


 Mengapa Perlu Mencintai Rasulullah s.a.w?


Hitam, putih, manis, pahit, terang dan gelap, semuanya dilihat indah jika sudah ada cinta. Namun demikian, cinta kepada Allah s.w.t tidak mungkin dicapai tanpa melalui cinta Rasulullah s.a.w. Cinta Allah s.w.t itu tujuan, cinta kepada Rasulullah pula jalan. Tujuan tidak akan tercapai tanpa mengikut jalan.


Antara jalan menuju kejayaan adalah dengan “meniru” orang yang berjaya sebagaimana yang turut dinyatakan oleh pakar motivasi dan psikologi. Sebagai Umat Islam, siapa lagi insan paling berjaya jika tidak Rasulullah s.a.w? Baginda mencapai kejayaan yang holistik sebagai individu dan masyarakat di dunia dan akhirat. Allah s.w.t telah menegaskan hakikat ini melalui firman-Nya yang bermaksud:


Pada diri Rasulullah s.a.w. buat kamu adalah suri teladan yang baik.


(Surah al-Ahzab 33: 21)


Tanpa berdolak-dalih lagi, kita boleh merumuskan bahawa punca kegagalan Umat Islam kini kerana tidak menjadikan Rasulullah s.a.w sebagai teladan.


Berikut dihuraikan sebab mengapa kita perlu mencintai Rasulullah s.a.w:


1. Jalan mencintai Allah s.w.t


Allah s.w.t sendiri telah menunjukkan bahawa jalan mencintai Allah s.w.t adalah dengan mencintai Rasulullah s.a.w. Jalan itu wajib diikuti. Tidak ada manusia yang mampu mencintai Allah s.w.t mengikut jalannya tersendiri. Seperkara lagi, kita mestilah mencintai segala-gala yang dicintai Allah s.w.t. Ia meliputi mencintai para rasul, nabi, malaikat, hambaNya yang soleh, amal soleh dan akhlak mulia.


Tegasnya, cinta kepada Allah s.w.t mewajibkan kita agar mencintai sesiapa dan segala sesuatu yang dicintaiNya. Insan yang paling dicintai oleh Allah s.w.t ialah Rasulullah s.a.w Inilah syarat pertama dan utama untuk meraih cinta Allah s.w.t. Perkara ini ditegaskan sendiri oleh Allah s.w.t melalui firman-Nya yang bermaksud:


Katakan: ‘Jika kamu (benar-benar) mencintai Allah s.w.t, ikutilah aku (Muhammad). Nescaya Allah s.w.t mengasihi dan mengampuni dosa-dosamu.’ Allah s.w.t Maha Pengampun lagi MahaPenyayang.’


(Surah Ali ‘Imran 3: 31)


2. Rasulullah s.a.w sangat dimuliakan Allah s.w.t


Allah s.w.t telah memilih Baginda sebagai manusia yang paling mulia dengan pengiktirafan berikut:


-Penghulu segala rasul.


-Menurunkan al-Quran kepadanya.


-Memuliakan dengan selawat.


-Menganugerahkan gelaran “Habibullah” (kekasih Allah s.w.t).


Rasulullah s.a.w dimuliakan oleh Allah s.w.t dan terpancar daripada firmanNya yang bermaksud:


Sesungguhnya, Allah s.w.t dan malaikat-Nya berselawat atas nabi. Wahai orang beriman, berselawatlah atas nabi.


(Surah al-Ahzab 33:56)


Bukan itu sahaja, malah Baginda dimartabatkan sebagai pemberi rahmat bagi seluruh alam dan kelak Allah s.w.t akan lebih memuliakannya dengan memberikan syafa‘ah ‘uzma (pertolongan agung) pada hari kiamat. Orang yang memuliakan insan yang dimuliakan Allah s.w.t (Rasulullah s.a.w) akan turut dimuliakannya. Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya:


“Sesiapa yang berselawat kepadaku sekali, maka aku akan berselawat atasnya 10 kali.”


(Riwayat Al-Bukhari)


3. Rasulullah s.a.w sangat mencintai kita


Rasulullah s.a.w merupakan Nabi yang paling mencintai umatnya. Atas dasar cinta itulah Baginda berjuang habis-habisan untuk menyampaikan ajaran Islam, agama yang menyelamatkan manusia di dunia dan akhirat. Belum tentu orang yang kita cintai akan mencintai kita, tetapi Baginda memang terbukti mencintai kita. Jika kita mencintai Rasulullah s.a.w, kita tidak akan bertepuk sebelah tangan. Cintailah Rasulullah s.a.w, pasti cinta kita berbalas.


            Bukti cinta ialah pengorbanan. Semakin tinggi cinta, semakin banyak pengorbanan. Lihatlah bagaimana Baginda telah menumpahkan keringat, mengalirkan air mata, malah rela menyabung nyawa demi menyelamatkan umat Islam daripada seksaan neraka? Firman Allah s.w.t, maksudnya:


Sesungguhnya telah datang kepadamu seorang Rasul daripada kaummu sendiri. Terasa berat olehnya dengan penderitaanmu, yang sangat menginginkan (keimanan dan keselamatan) bagimu, amat belas kasihan serta penyayang terhadap orang Mukmin.


(Surah al-Tawbah 9:128)


Doa-doa yang diwariskan oleh Rasulullah s.a.w. kepada para sahabatnya dan kemudian dipindahkan daripada satu generasi ke satu generasi juga bukti cinta Rasulullah s.a.w kepada umatnya. Jika kita merujuk kepada hadis-hadis yang dinukilkan dalam pelbagai kitab, kita dapat melihat betapa banyak khazanah doa yang diwariskan sebagai bukti kecintaan Baginda.


4. Jasa dan kebaikan Rasulullah s.a.w yang melimpah


Budi dan jasa Rasulullah s.a.w sangat luar biasa. Dakwah, nasihat, didikan, bimbingan, doa dan kepimpinan Rasulullah s.a.w tidak terhitung nilainya. Baginda bukan sahaja bertungkus-lumus untuk menyelamatkan manusia di dunia sahaja, malah akhirat. Baginda telah menyampaikan berita (hari akhirat) sama ada yang menggembirakan(syurga) atau ancaman yang menakutkan (neraka) sebagai peringatan.


Itulah perbezaan Rasulullah s.a.w dengan pemimpin dunia yang lain. Pemimpin biasa hanya berusaha menyelamatkan pengikutnya di dunia, tetapi Rasulullah s.a.w berusaha menyelamatkan umatnya daripada kesengsaraan di dunia dan akhirat. Rasulullah s.a.w bukan sahaja membersihkan dunia daripada kejahatan, malah membersihkan hati manusia daripada dosa dan kemungkaran.


Hati manusia yang dicemari syirik dan sifat mazmumah telah dibersihkan dengan kehadiran Rasulullah s.a.w. Hasilnya, terbentuklah generasi yang beriman. Firman Allah s.w.t, maksudnya:


Sesungguhnya, Allah s.w.t memberi kurniaan kepada orang yang beriman ketika Allah s.w.t mengutus antara mereka seorang Rasul daripada golongan mereka sendiri, yang membacakan ayat-ayat Allah s.w.t kepada mereka, membersihkan(jiwa) mereka dan mengajarkan kepada mereka Al-Kitab dan Al-Hikmah. Sesungguhnya sebelum (kedatangan Nabi) itu, mereka benar-benar berada dalam kesesatan yang nyata.” 


(Surah Ali ‘Imran 3: 164)


5. Keagungan akhlak Rasulullah s.a.w.


Setiap hati manusia akan jatuh cinta kepada orang yang mempunyai akhlak yang baik. Akhlak yang baik disukai oleh setiap manusia tidak kira agama, bangsa dan warna kulit. Ia nilai sejagat yang diakui oleh semua manusia. Ini juga salah satu sebab kita perlu mencintai Rasulullah s.a.w kerana ketinggian dan keagungan akhlak Baginda.


Oleh sebab itu, sesiapa yang tidak jatuh cinta kepada Rasulullah s.a.w, itu petanda dia menolak fitrah manusia. Orang yang baik dan ingin menjadi baik akan mencintai dan meneladani orang yang baik. Tidak ada insan sebaik Nabi Muhammad s.a.w. Akhlak Baginda bukan sahaja dipuji oleh kawan dan lawan, malah oleh Tuhan Yang Maha Pencinta. Allah s.w.t berfirman, maksudnya:


Sesungguhnya, kamu (Muhammad) benar-benar mempunyai budipekerti yang agung.” 


(Surah al-Qalam 68:4)


            Oleh yang demikian, marilah kita mencintai Rasulullah s.a.w dengan sepenuh hati kita. Bersempena dengan kehadiran bulan yang mulia, marilah kita sambut dengan penuh rasa cinta dan rindu. Semoga bertambah lagi kecintaan kita kepadanya dan berterusan cinta itu akan bertambah di dalam diri kita sehinggalah kita akan bertemu baginda diakhirat kelak.


Allahu'alam





Disediakan oleh:


Ustaz Abdul Rahim bin Sabtani

Pelajar Tahun 4

Kuliah Bahasa Arab

Universiti Al-Azhar


Disunting oleh:

Setiausaha Agung

Majlis Tertinggi Pengurusan Anak-Anak Negeri Sembilan Mesir


(MTPANSM), Sesi 2015/2016


Comments

Popular posts from this blog

KUNJUNGAN RASMI DELEGASI JABATAN MUFTI NEGERI SEMBILAN KE RUMAH NEGERI SEMBILAN KAHERAH (RNSK)

*[MAKLUMAN PENANGGUHAN KELAS TAFAQQUH FIDDIN]*

[ZIARAH MAHABBAH ]