Ifthor Jamie Puasa Sunat Hari Asyura serta Majlis Ramah Mesra Pegawai Khas Kebajikan Pelajar Anak-anak Negeri Sembilan Mesir

14 NOVEMBER 2013-Khamis, Majlis Tertinggi Pengurusan Anak-Anak Negeri Sembilan Mesir (MTPANSM ) telah mengadakan Ifthor Jamie sempena Hari Asyura dan Majlis Ramah Mesra Pegawai Khas Kebajikan yang baharu bersama isteri. Program ini dapat mengumpulkan anak-anak Negeri Sembilan sekitar Kaherah di musolla Rumah Negeri Sembilan Kaherah (RNSK).


Alunan qasidah daripada anak Negeri

Majlis dimulakan dengan berbuka puasa secara sederhana, seterusnya Solat Maghrib secara berjemaah dan bacaan Surah Yasin. Juadah berbuka puasa yang disediakan oleh penghuni RNSK secara ‘pot-luck’ dihidangkan dalam dulang turut disertai oleh pegawai. Alunan madeh ‘Ya Kitab Al-Ghuyub’ menjadi halwa telinga permulaan Majlis Ramah Mesra.

Tuan Haji Abdul Hamid bin Jaman, Pegawai Khas Kebajikan yang baru bersama isteri, Puan Hajjah Hamidah bt Puteh telah menjejakkan kaki ke bumi Anbia’ pada 10 November 2013. Beliau merupakan bekas pensyarah di Maktab Perguruan Raja Melewar (MPRM) telah dilantik oleh Menteri Besar Negeri Sembilan untuk menjadi pengganti Tuan Haji Abdul Malek.




Sesi bergambar bersama pegawai

Ayah Hamid yang membesar di Kuala Jempol, Negeri Sembilan mengingatkan anak-anak Negeri Sembilan supaya menjadi individu Islam yang cemerlang dalam semua aspek. Beliau juga meminta kita menjadikan prinsip masyarakat negara China, Korea, dan Jepun yang tidak pernah menyoal kegagalan dalam hidup mereka tersemat di dalam dada kita.
sesi bergambar akhawat bersama pegawai negeri

Ayah Hamid yang merupakan bapa kepada 6 orang anak, menyatakan hasrat Menteri Besar Negeri Sembilan supaya kecemerlangan anak-anak Negeri Sembilan dapat dikekalkan serta menjaga keselamatan diri selama keberadaan di Mesir. Ibu Hamidah mengambil kesempatan untuk memberi kata-kata perangsang dan memberi satu nasihat kepada anak-anak Negeri Sembilan:

“…Kita sebagai anak, jika tidak mampu membalas jasa seseorang, kita kenang jasa mereka…”

Majlis kemudian diteruskan dengan penyerahan Sijil Penghargaan kepada ahli jawatankuasa Program Sambutan Mahasiswa Baru 2013/2014, Sijil Penghargaan barisan kepimpinan MTPANSM 2012/2013 serta watikah perlantikan daripada MAINS untuk barisan kepimpinan MTPANSM 2013/2014. Sambutan Sanah Helwa dari bulan Mei hingga November juga diadakan pada malam ini.
Pemberian Sijil kepada AJK PSMB

Watikah perlantikan MTP 2013/2014
Majlis diakhiri dengan juadah Bubur Lambuk sempena Hari Asyura dan Kek Sanah Helwa yang disediakan oleh anak-anak Negeri Sembilan sendiri. MTPANSM mengucapkan jutaan terima kasih kepada anak-anak Negeri Sembilan yang terlibat secara langsung ataupun tidak atas jasa anda dalam menjayakan program ini. Akhir kalam, MTPANSM mengharapkan supaya anak-anak Negeri Sembilan bersemangat menjalani hidup sebagai seorang penuntut ilmu di bumi Anbiya’ ini.

Barisan tenaga Delegasi MTP 2013/2014

Comments

Popular posts from this blog

KUNJUNGAN RASMI DELEGASI JABATAN MUFTI NEGERI SEMBILAN KE RUMAH NEGERI SEMBILAN KAHERAH (RNSK)

*[MAKLUMAN PENANGGUHAN KELAS TAFAQQUH FIDDIN]*

[ZIARAH MAHABBAH ]