SUSURILAH HIDUP INI SEBAGAI HAMBA



Saban hari kita bangun, makan, belajar dan melakukan aktiviti lainnya. Boleh dikatakan kita hampir melakukan perkara-perkara yang sama setiap hari. Namun adakah sama nilaian aktiviti- aktiviti ini di antara satu dengan yang lain? Ada yang berjalan  mahu ke kedai, ada yang berjalan mahu ke majlis ilmu, dan ada juga yang diperjalankan dalam keranda menuju tempat persemadiannya. Kesibukan dan kepelbagaian gerak zahir dan batin ini haruslah disedari dengan sebuah hakikat bahawa ia tidak terlepas dari pengetahuan Allah s.w.t.

“Dan rahsiakanlah perkataan kamu atau nyatakanlah. Sungguh dia mengetahui isi hati . Apakah pantas Allah yang menciptakan itu tidak mengetahui? Dan Dia Maha Halus Maha Mengetahui.” ( al-mulk 13- 14)

Dirobotkan oleh kehidupan merupakan realiti yang perlu diakui. Mengambil contoh, seorang ayah mungkin sahaja keluar bekerja untuk mencari biaya nafkah untuk anak dan isteri. Tujuannya bekerja tidak lebih daripada itu. Berbeza dengan ayah yang berazam mencari rezeki halal sebagaimana tuntutan agama, dia mahu anak-anak yang makan dari rezeki yang halal itu tumbuh membesar sebagai pejuang- pejuang agama Allah.
Hari ini, manusia seolah-olah lupa tujuan sebenar kehidupan, ataupun lebih tepat, jahil mengenainya. Kejahilan ini bukan ringan akibatnya. Ke manakah masa kita diluangkan? tujuan apakah tenaga kita dikerahkan? Virus kejahilan ini perlu diubati dengan ilmu, ia akan merebak dan terus merebak jika tidak di banteras. Mengapa? Kerana umat ini memerlukan ibu, ayah, anak, pemimpin masyarakat, pemuda, warga tua dan semua lapisan kehidupan yang berjiwa hamba.

" Sesungguhnya tidak aku ciptakan jin dan manusia kecuali untuk menyembahKu."( az-zariyat:56)

                Rasulullah sallallahu alaihi wasalam adalah contoh terbaik dalam memperhambakan dirinya kepada Allah subhanahu wataala. Dakwah baginda di siang hari diiringi dengan munajat cintanya pada malam hari. Ibadahnya melebihi para sahabat walau baginda sudah pasti diampunkan dosanya sejak sebelum baginda diangkat menjadi rasul dan selepasnya. Inilah hakikat jiwa hamba, terus beramal tanpa mengeluh. Tidak lupa menggantungkan segalanya kepada Allah s.w.t. Yang Maha Mendengar.
 Dari Mughirah bin Syu'bah :
Rasulullah s.a.w solat (solat malam), sehingga bengkak kakinya. Maka dikatakan kepada baginda, "Tuan melakukan ini sedangkan tuan sudah pasti diampunkan dosa yang terdahulu dan terkemudian?. Jawab baginda,"Tidak bolehkah aku menjadi hamba yang bersyukur?".(Hadis riwayat Bukhari, Muslim dan Tirmizi) 
                Akhir kata, hiduplah  sebagai seorang hamba yang kenal penciptaNya, jangan sombong dengan umur yang dipinjamkan, jangan disia-siakan masa yang akan dipersoalkan. Allah s.w.t. Maha Penolong hambanya, namun sudahkah kita berusaha sebagai hamba untuk mendapat pertolongannya?"

Comments

Popular posts from this blog

KUNJUNGAN RASMI DELEGASI JABATAN MUFTI NEGERI SEMBILAN KE RUMAH NEGERI SEMBILAN KAHERAH (RNSK)

*[MAKLUMAN PENANGGUHAN KELAS TAFAQQUH FIDDIN]*

[ZIARAH MAHABBAH ]