KEJATUHAN KHILAFAH & KEMUNCULAN ULAMA SEKULAR


Seolah-olah telah dirancang rapi setelah jatuhnya Khilafah Uthmaniyyah, muncul sebuah buku ‘agama’ yang ditulis oleh ‘agamawan’ yang terang-terangan menaja ajaran sekular. Buku yang berjudul ‘al-Islam Wa al-Hukmi’ (Islam & Asas Hukum) telah ditulis oleh Syeikh Ali Abdul Raziq yang merupakan antara tenaga pengajar di al-Azhar Kaherah.
Beliau memulakan karier politik kepartian dengan menjadi Naib Ketua Parti Ummah di Mesir seawal tahun 1907 dibawah seliaan Lord Cromer yang merupakan pegawai besar British ke Mesir 1877-1907. Dari situ terlihat jelas hubungan Ali Abdul Raziq dengan British. Dr. Yusuf al-Qaradhawi membidas Ali Abdul Raziq dengan ungkapannya;


“Penulis buku tersebut telah mendakwa satu dakwaan yang tidak pernah diungkap oleh sesiapa sepanjang sejarah Islam. Kononnya Islam merupakan agama, bukan Negara. Islam hanyalah risalah kerohanian semata-mata. Bahkan Muhammad SAW tidak diutuskan untuk membina Negara”


Buku tersebut disanggah oleh Syeikh Muhammad Bakhit al-Muti’iy dengan kitabnya berjudul ‘Haqiqat al-Islam Wa Usul al-Hukmi’ ( Hakikat Islam & Asas Hukum).
Selepas dari itu muncul pula Khalid Muhammad Khalid menulis buku ‘Min Huna Nabda’ ( Dari Sini Kita Bermula ) yang turut melampirkan konten berpemikiran sekular. Usaha tersebut ditentang keras oleh Syeikh Muhammad al-Ghazali dengan kitabnya ‘ Min Huna Na’lam’ ( Dari Sini Kita Tahu).
Akhirnya Khalid Muhammad Khalid mengisytiharkan taubatnya di dalam akhbar ‘al-Akhbar al-Qahiriyyah’ Mesir;


“ Ingin saya nyatakan di sini bahawa saya dahulunya terkesan dengan gambaran pemerintahan gereja Eropah di zaman gelap. Saya terlupa bahawa ketika zaman kegelapan Barat, Islam berada di posisi kontra. Islam telah mempunyai segala fasiliti bagi sebuah Negara lengkap. Ajaran Islam sama sekali tidak mungkin memisahkan agama dari urusan Negara melainkan di sana boleh diwujudkan satu kemungkinan mengasingkan agama dari agama...”


Jika dilihat sejarah pengukuhan pemikiran sekular di kalangan masyarakat Islam, antara watak awal yang muncul adalah kalangan ilmuan-ilmuan Islam yang naïf dan menjadi alat musuh.
Maka tidak pelik pada hari ini terkadang didapati dalam kalangan ilmuan berlatar belakang pendidkan Islam boleh menerima konsep sekular sebagai satu logik beragama. Kitaran pertarungan itu akan terus berterusan.



kayazmin

Comments

Popular posts from this blog

KUNJUNGAN RASMI DELEGASI JABATAN MUFTI NEGERI SEMBILAN KE RUMAH NEGERI SEMBILAN KAHERAH (RNSK)

*[MAKLUMAN PENANGGUHAN KELAS TAFAQQUH FIDDIN]*

[ZIARAH MAHABBAH ]